Sejak semalam ramai yang memperkatakan tentang fee guaman yang kononnya naik sehingga 20% daripada sebelum ni. Kenaikan itu disifatkan bagi sesetengah pihak sebagai MAHAL.
Bahkan pihak wartawan pun turut mendapatkan komen daripada saya tentang perkara tersebut semalam.
Sukacita saya maklumkan, sebenanrya, memang ada pindaan dibuat pada Perintah Saraan Peguam Cara (Pindaan) 2017 yang telah berkuatkuasa pada 15 Mac 2017 (semalam).
Dimana melalui pindaan tersebut skala fi guaman untuk urusan pindah milik dan gadaian hartanah dipinda daripada 1% untuk hartanah/ pembiayaan bernilai RM150,000 pertama kepada 1% untuk hartanah/ pembiayaan bernilai RM500,000 pertama.
Pun begitu pindaan tersebut juga membenarkan peguam memberi diskaun tidak melebihi 25% daripada fi guaman yang dikenakan untuk urusan pindah milik dan gadaian tersebut, di mana sebelum ini diskaun tidak dibenarkan sama sekali untuk sebarang fi guaman.
Saya bagi contoh:
Katakanlah harga jual beli hartanah adalah RM500,000.
Sebelum pindaan dibuat :
RM150,000 pertama - 1% = RM1500
Baki RM350,000 - 0.7% = RM2450
Total : RM3950
Selepas pindaan dibuat :
RM500,000 pertama - 1% = RM5000
Tolak diskaun 25% = RM1250
Total : RM3750
Jadi hakikatnya tidak ada kenaikan terhadap yuran guaman sebagaimana yang digembar gemburkan. Yang ada hanyalah pindaan terhadap skala fi sahaja.
Bahkan setelah dibuat perkiraan sebenar berdasarkan pindaan tersebut, jumlah keseluruhan fi guaman berkemungkinan menjadi lebih rendah dan murah daripada sebelum ini.
Mungkin inilah yang dikatakan oleh kebanyakan sahabat seperguaman saya bahawa fee guaman baru ini nampak MAHAL, tetapi hakikatnya lebih MURAH daripada sebelum ini.
Ianya tidak memberi apa-apa kelebihan pun kepada peguam hartanah seperti kami ini. Sebaliknya pindaan ini akan memberi kesan negatif kepada firma-firma guaman kecil yang mengendalikan kes urusniaga hartanah yang lebih sedikit berbanding firma guaman besar.
Insya Allah HartaGuam akan adakan perbincangan lanjut dengan Majlis Peguam untuk mencadangkan agar perlaksanaan pindaan ini dikaji semula supaya ianya lebih bersifat adil kepada semua peguam hartanah khususnya.
Terima kasih,
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)
No comments:
Post a Comment