Ramai yang inginkan kepastian tentang apakah kesan terhadap sesuatu urusan jual beli hartanah yang dimasuki seandainya penjual atau pembeli meninggal dunia sebelum sesuatu urusan jual beli hartanah itu disempurnakan.
Kesannya adalah seperti berikut:
1. Jika penjual atau pembeli meninggal dunia selepas perjanjian jual beli ditandatangani tetapi sebelum Borang Pindah Milik (Borang 14A) ditandatangani, maka urusan jual beli tersebut akan tertakluk kepada peruntukan yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli itu.
2. Sekiranya dinyatakan dalam perjanjian jual beli yang kematian mana-mana pihak akan menjadikan perjanjian jual beli tersebut secara otomatiknya terbatal, maka urusan jual beli tersebut dianggap terbatal.
3. Segala bayaran / dokumen yang telah diserahkan oleh mana-mana pihak hendaklah dikembalikan kepada pihak yang satu lagi atau kepada warisnya melalui peguam.
4. Sekiranya dalam perjanjian menyatakan kematian mana-mana pihak sebelum sempurnanya sesuatu urusan jual beli tidak akan membatalkan perjanjian jual beli dan akan mengikat waris masing-masing, maka waris simati berhak untuk meneruskan perjanjian tersebut, tertakluk juga kepada kebenaran dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak bank/pembiaya.
5. Walau bagaimanapun, sekiranya kematian berlaku selepas Borang Pindah Milik (Borang 14A) telah ditandatangani, maka urusan jual beli tersebut dari segi undang-undangnya masih boleh diteruskan dan pindahmilik masih boleh didaftarkan di pejabat tanah sebagaimana yang dinyatakan dalam S. 292(4) Kanun Tanah Negara 1956.
6. Walau bagaimanapun waris-waris hendaklah memfailkan permohonan pusaka dan perintah pentadbir harta untuk mengesahkan siapakah yang berhak mentadbir / menerima wang hasil jualan hartanah tersebut atau mentadbir/ menerima hartanah yang telah dibeli dan dipindahmilik tersebut.
7. Biasanya pihak peguam terpaksa pegang segala wang bayaran harga jual beli atau geran hartanah tersebut (sekiranya ia telah dipindahmilik kepada simati), sehinggalah satu perintah pusaka dan pentadbir harta telah diperolehi yang mengesahkan tentang waris waris yang berhak menerima hasil jualan atau yang bertindak sebagai pentadbir kepada harta si mati.
Harap penjelasan ini merungkai kekusutan dan kekeliruan yang dialami. Sila LIKE, KOMEN dan SHARE jika bermanfaat.
Oleh;
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)
No comments:
Post a Comment