1. Sesetengah orang menyangka yang jika mereka beli rumah subsale, mereka juga layak memperoleh tempoh waranti kecacatan sebagaimana beli rumah yang dalam pembinaan dengan pemaju.
2. Sebenarnya tahukah anda, jika anda beli rumah subsale, anda membelinya atas dasar "as it where is basis" (atas dasar keadaan semasa rumah tersebut).
3. Ertinya sebagaimana keadaan rumah tersebut pada masa perjanjian jual beli (SNP) ditandatangani, begitulah juga keadaannya ketika ianya diserahkan milikan kosong kepada pembeli kelak.
4. Jika misalnya semasa SNP ditandatangani, rumah tersebut tiada pintu dapur, maka penjual tidak bertanggungan untuk memasang pintu dapur semasa serahan milikan kosong dibuat kelak.
5. Sebagai pembeli anda tidak berhak meminta penjual membaiki segala kerosakan yang ada pada rumah tersebut selepas perjanjian jual beli ditandatangani.
6. Melainkan penjual dengan sukarelanya bersetuju dan berjanji akan membaiki segala kerosakan pada rumah tersebut. Itupun dengan syarat ianya mestilah dinyatakan sedemikian dengan jelas di dalam SNP tersebut.
7. Jika sekadar janji lisan sahaja sebelum SNP ditandatangani, ianya mungkin tidak dapat dikuatkuasakan. Ini kerana segala janji lisan atau perbincangan lisan di antara penjual dan pembeli tidak akan terpakai dan tidak boleh dikuatkuasakan sebaik sahaja perjanjian jual beli bertulis telah ditandatangani.
8. Apa apa yang ditulis dalam SNP itulah sahaja yang akan mengikat kedua-duanya belah pihak dan SNP tersebut akan supersede (mengatasi) segala janji dan perbincangan lisan kedua-dua belah pihak sebelum ini.
9. Undang-undang beranggapan yang pembeli WAJIB memeriksa keadaan rumah tersebut sebelum menandatangani SNP.
10. Mereka berhak untuk tidak meneruskan pembelian sekiranya didapati rumah tersebut tidak memenuhi citarasa mereka seperti terdapat banyak kerosakan dan sebagainya. Dan undang-undang juga beranggapan bahawa sebaik sahaja mereka telah menandatangani SNP, mereka dianggap telah berpuas hati dengan keadaan rumah tersebut. Justeru, mereka tidak boleh lagi menuntut penjual membaiki kerosakan yang ada pada rumah tersebut.
11. Jika pembeli hendak minta penjual baiki kerosakan pada rumah tersebut, sila minta penjual baikinya sebelum SNP ditandatangani. Itu pun jika penjual mahu. Jika meraka tidak mahu, anda tidak berhak paksa mereka dan anda berhak cari rumah lain yang lebih elok.
Jadi, harap tulisan ini dapat menjelaskan kekeliruan bagi sesetengah orang sebelum ini.
Jika bermanfaat, sila LIKE, KOMEN, SHARE dan TAG kawan anda.
Terima kasih,
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)
No comments:
Post a Comment